Showing posts with label spr. Show all posts
Showing posts with label spr. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

SPR Umum Penamaan Calon 20 April, Tarikh Mengundi 5 Mei





Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah mengumumkan pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diadakan pada 5 Mei 2013 bersamaan dengan hari ahad manakala penamaan calon ditetapkan pada 30 April.

Ini diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu sidang akhbar hari ini.


Menurut fasal 4, perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran. Sejumlah 379 pegawai penguatkuasa kempen pilihan raya di seluruh negara. 

234,905 orang petugas pilihan raya akan dilantik. Sejumlah RM400,000 diperuntukkan untuk kerja pilihan raya. Daftar pemilih yang diwartakan pada 11 April 2013 akan digunakan kali ini. 13,298,002 orang pemilih akan mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Semakan pemilih boleh dibuat di laman web SPR.


Tuesday, April 2, 2013

Parlimen Bubar Rabu 3 April 2013??



Parlimen dijangka dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Ini berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.

"Jika Parlimen dibubar esok, SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi” Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR

Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat.

Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.

Mengikut kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet esok seperti kelaziman sebelum ini.
Tempoh 60 hari adakan PRU-13

“Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang Menteri kepada BH semalam.

Jika Parlimen dibubarkan esok, ia genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan esok SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi.

Berita Harian

Monday, November 26, 2012

SPR Nasihat Selangor..Jangan Buat Andaian!!!


Jangan buat andaian, SPR nasihat Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor diminta tidak membuat sebarang andaian sebelum merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan penemuan 134,675 pengundi yang tidak dapat dikenal pasti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menanti laporan daripada penemuan itu dan sudah bersedia untuk memberi penjelasan.

Menurutnya, SPR tidak menolak usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri itu namun ia sepatutnya dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita sudah bersedia memberi jawapan kerana kita bekerja mengikut fakta dan undang-undang,” katanya.

Wan Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Sinar Harian, Sabtu lalu, yang mendakwa Kerajaan Negeri mengesan seramai 134,675 pengundi baru yang tidak dapat dikenalpasti pada suku keempat tahun lalu berdaftar dalam Daftar Pemilik Induk.

Beliau juga turut mempersoalkan kaedah dilakukan Kerajaan Negeri dalam menjejak pengundi yang dilaksanakan melalui bancian dari rumah ke rumah sekiranya ia berdasarkan alamat mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“SPR tidak pernah memberi persetujuan kepada mana-mana pihak untuk melakukan bancian pengundi termasuk Kerajaan Negeri tetapi SPR tetap menghormati usaha mereka.

“Ini kerana, kita khuatir sekiranya mereka tidak memahami kaedah sebenar bancian dan membuat andaian, ia pada akhirnya akan mengelirukan orang ramai.

“Jika mereka membuat bancian dengan cara pergi dari rumah ke rumah berdasarkan alamat dalam rekod JPN, ia akan jadi tidak tepat kerana berkemungkinan individu itu tidak lagi tinggal di alamat didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah di sisi undang-undang SPR sekiranya seseorang itu tidak lagi tinggal di tempat asal tetapi masih menggunakannya sebagai alamat pengundi.

“Boleh jadi mereka ini sewaktu mendaftar dengan SPR, mereka tinggal di situ tetapi kemudian mereka berpindah dan masih belum mengemas kini data terbaru mereka.

“Sekiranya kaedah ini diambil kira Kerajaan Negeri dalam penemuan itu, kita khuatir ia tidak tepat kerana masalah berkaitan alamat itu bukan sesuatu yang pelik malah ia perkara biasa di Malaysia ini,” katanya.

Monday, March 12, 2012

Kaum India berhati - hati memilih parti

Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz

Kaum India di negara ini diingatkan agar berhati-hati ketika memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang agar tidak menyesal di kemudian hari.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, pilihan harus dibuat bukan saja berdasarkan rekod dan kejayaan dalam mentadbir negara, tetapi juga sumbangan terhadap semua kaum.

"Nak ubah kerajaan ini senang tapi kita kena fikir risiko yang akan dihadapi. Oleh itu, jangan mudah terpedaya dengan janji pihak pembangkang. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, saya minta kaum India supaya mengundi Barisan Nasional (BN) 100 peratus,” katanya di sini malam tadi.

D'Cruz juga berkata, berdasarkan maklum balas, sokongan kaum India kepada BN semakin meningkat, khususnya di kawasan estet dan luar bandar.

Terdahulu ketika berucap, D'Cruz berkata, program Komuniti Sihat 1Malaysia bertujuan memberi kesedaran kesihatan dan mewujudkan masyarakat yang sihat.

Sumber :- Utusan Malaysia