Tuesday, September 20, 2011

BN Berpeluang Rampas Selangor - Ahmad Atory


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Peluang Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor daripada pembangkang adalah 50:50 berbanding 47: 53 sebelum ini akibat kelemahan dan penyelewengan pembangkang kebelakangan ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, seperti contoh tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengiktiraf komunis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero wira sebenar adalah bercanggah dengan fakta sejarah.

"Setakat ini, hakikat yang perlu diterima dijangkakan 16 kerusi akan diperoleh BN dan 16 kerusi oleh pembangkang serta baki 24 kerusi akan menjadi medan penentunya.

"Selain itu, 10 hingga 12 kerusi panas di Selangor yang kalah di tangan pembangkang mempunyai perbezaan undi majoriti sedikit perlu diberi tumpuan.

''Contohnya di Ijok, kawasan Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri, hampir 30 peratus pengundi adalah beragama Hindu dan saya yakin Ijok boleh dirampas kerana MIC yang dilihat sudah kembali pulih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai keadaan politik di Selangor dan sama ada BN berpeluang untuk merampas kembali Selangor pada pilihan raya umum akan datang di sini hari ini.

Tambah Ahmad Atory, beliau juga menyokong cadangan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagi membuat manifesto sendiri bagi setiap daerah di Selangor kerana setiap kawasan mempunyai masalah yang berbeza-beza.

"Selain itu, semua janji-janji yang diberikan oleh menteri perlu ditunaikan sebelum pilihan raya akan datang agar ia tidak digunakan oleh pembangkang," ujarnya.

Kata beliau, calon-calon bagi Menteri Besar Selangor juga perlu ditonjolkan dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkredibiliti dari pemimpin pembangkang sekarang.

1 comment:

  1. hehe. nampaknya negeri2 lain pun bakal ditawan oleh pembangkang la ye lepas ni sebab

    "akibat kelemahan dan penyelewengan pembangkang kebelakangan ini."

    Perkataan pembangkang tu ganti dengan kerajaan.
    har har har

    ReplyDelete