Tuesday, December 9, 2014

Jangan Terpedaya Dengan Bantuan Yang Diberikan - Shafei Abdullah




WANGSA MAJU 30 Nov - Rakyat di negara ini perlu sedar bahawa bantuan-bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mampu ditiru oleh pembangkang sekiranya mereka memerintah.

Pengerusi BN Wangsa Maju, Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, pengundi-pengundi di Malaysia perlu insaf mengenai perkara tersebut dan tidak terpengaruh dengan mengundi pembangkang berdasarkan bantuan yang diterima semasa kempen pilihan raya sahaja.

"Contohnya di Wangsa Maju, siapa nama wakil rakyat tuan-puan...mungkin ramai tidak berapa ingat namanya, sebab tidak ada langsung tawaran bantuan persekolahan, bantuan mangsa kebakakaran dan bantuan kepada mangsa banjir, dia tidak peduli.

"Sampai masa ketika hampir pilihan raya nanti baru beliau akan turun padang, empat hingga lima tahun tidak buat kerja dan apabila lagi sebulan hendak pilihanraya baru beliau akan berjumpa rakyat dan ketika itu rakyat akan menganggap beliau adalah wakil rakyat yang baik," katanya ketika mencapai ucapan pada Program Bantuan Persekolah "Back To School" di sini hari ini.

Shafei menjelaskan, berbeza dengan parti Umno dan BN yang bertungkus-lumus membela nasib rakyat namun langsung tidak pernah dihargai oleh pengundi-pengundi.

"Yang Umno tunggang-langgang daripada awal sehingga pilihan raya, kita cuba berkhidmat untuk rakyat terus dilupakan, inilah nasib kita di Wangsa Maju.

"Beliau (pembangkang) yang telah dapat memerintah di sini, dan sekiranya kita (Umno) membiarkan sahaja masalah-masalah di sini begitu sahaja, maka kita rasa nasib rakyat di sini akan tidak terbela, dan kerana itu kita bekerja sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban penduduk di Wangsa Maju," ujarnya.

Kira-kira 700 pelajar sekolah dari kawasan ini menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 serta beg sekolah bagi membantu mereka menempuh sesi persekolahan tahun hadapan.

Program tersebut dianjurkan oleh Biro Pendidikan Umno Bahagian Wangsa Maju dengan kerjasama daripada Yayasan Wilayah Persekutuan.