Wednesday, February 27, 2013

Manifesto PR Sisihkan PAS??



Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Pas tidak perlu merasa bangga dengan pelancaran manifesto pakatan pembangkang Isnin lepas kerana ia tidak memaparkan aspirasi parti itu terutama dalam memartabatkan agama Islam.

Manifesto pakatan pembangkang adalah lebih kepada aspirasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan tidak begitu menyentuh perkara-perkara yang memartabatkan Islam di negara ini, katanya dalam satu ceramah Jom Tolak Pakatan di Jalan Nenas, Meru di sini, malam tadi.

Di dalam manifesto itu tidak dinyatakan mengenai penubuhan negara Islam, atau mengangkat martabat mahkamah syariah sama dengan mahkamah sivil, katanya.

Oleh itu beliau hairan mengapa Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengangkat-angkat tangan semasa pelancaran itu.

“(Lainlah) kalau ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengangkat tangan mereka tidak mengapa..kerana agenda mereka termaktub dalam manifesto itu,” katanya.

Agenda mereka untuk menjadikan Islam di Malaysia lebih liberal atau sekularisme disisipkan di dalam manifesto itu tetapi agenda Islam tidak dijelaskan dalam manifesto itu.

Dr Hasan yang juga Presiden badan bukan kerajaan Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) berkata sehingga sekarang pakatan pembangkang masih lagi tidak menetapkan siapa calon Perdana Menteri sekiranya mereka menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 ini.

DAP dan PKR mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri dan begitu juga sesetengah pihak dalam Pas yang mahukan Anwar menjawat jawatan itu sedangkan pimpinan Pas sendiri nampaknya tidak berani menonjolkan Anwar layak menjawat jawatan Perdana Menteri, katanya.

“Pemimpin Pas tahu “the in and out” (luar dan dalam) Anwar Ibrahim. Tak malu ke kalau PM kita Anwar Ibrahim,” katanya.

Hasan berkata, isu siapa yang jadi Perdana Menteri ini penting kerana kalau pakatan rakyat memenangi pilihan raya kali ini, Perdana Menterilah yang pertama kali mengangkat sumpah di hadapan Yang Di Pertuan Agong sebelum kabinet dapat ditubuhkan.

Oleh itu, beliau meminta para pengundi di Meru supaya tidak memperjudikan politik dan masa depan Malaysia dan menolak pakatan pembangkang.

Hasan juga berkata, kenyataan Nik Aziz bahawa mereka yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia umpama ayam dan lembu tidak mencerminkan keperibadian atau bahasa seorang ulama. – Bernama

1 comment:

  1. Amat banyak diperkatakan orang... Menifesto PR untuk menghadapi PRU13 ini telah menysihkan perjuangan PAS. Nanti, diandaikan bila depa di Puteraja, bukan takat perjuangan Hadi Awang, bahkan meja Hadi Awang pun tak dak.

    ReplyDelete