Friday, March 8, 2013

Baca Dan Faham!! Perbezaan Insiden Al Maunah Dan Lahad Datu


al-Maunah-13

KUALA LUMPUR: Pencerobohan militan Filipina di Lahad Datu, Sabah tidak boleh disamakan dengan insiden berdarah kumpulan pemberontak Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada Julai 2000, kata bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said.

Beliau berkata militan Al-Maunah mengisyitharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala militan Filipina yang mendakwa sebagai Tentera Kesultanan Sulu datang untuk menuntut negeri Sabah.

Zaini, yang terbabit dalam operasi menumpaskan kumpulan Al-Maunah, berkata situasi dan motif kedua-dua kumpulan militan adalah berbeza yang mana anggota Al-Maunah adalah rakyat tempatan manakala militan Filipina adalah warga asing.

Militan Al-Maunah bercadang menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui huru hara manakala kumpulan bersenjata Filipina di Sabah menceroboh dengan menggunakan tindakan kekerasan, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Zaini berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein dalam portal berita online 'Malaysiakini' yang mendakwa pihak keselamatan mengambil masa empat hari sahaja dalam menumpas kumpulan Al-Ma'unah berbanding dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula mempertahankan tindakan pasukan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah dan menyifatkan tindakan yang diambil adalah tepat dan wajar.

Beliau berkata kerajaan tidak bertindak secara terburu-buru malah telah mengambil pendekatan mengelak pertumpahan berdarah menerusi usaha rundingan dengan kumpulan penceroboh bersenjata bagi mencapai penyelesaian secara aman.

Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan militan dari selatan Filipina itu memilih untuk mencetuskan pertempuran sehingga mengorbankan lapan anggota keselamatan negara.

Musa juga menyeru semua pihak ternmasuk ahli politik supaya memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara yang menjaga kententeraman dan membanteras kumpulan penceroboh di Sabah.

"Saya harap jangan keluarkan kenyataan atau komen negatif yang boleh menjatuhkan semangat anggota pasukan keselamatan negara," katanya sambil meminta rakyat yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan negara.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail, yang turut bersetuju dengan Musa, berkata rakyat tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan untuk melindungi kedaulatan negara.

"Kita sebagai rakyat sebuah negara perlu menunjukkan semangat bersatu padu dan sokong pasukan keselamatan. Ini satu ujian kepada rakyat untuk membuktikan semangat cintakan negara," katanya.
Mohd Salleh juga melahirkan keyakinan bahawa pasukan keselamatan negara dapat menangani insiden pencerobohan itu berdasarkan pengalaman dan kejayaan menumpaskan komunis pada satu masa dahulu.

Sumber

1 comment:

  1. MEMANGLAH BEZA. SULU DI SABAH KERANA SILAP BN SENDIRI MENGADAKAN PEROJEK IC SEJAK ZAMAN MAHATHIR. LAGIPUN ADA PEMIMPIN UMNO TERDIRI DARI ORANG SULU, BAHKAN SULTAN SULU PUN. PERHIMPUNAN UMNO PUN MEREKA BOLEH DATANG.CANTIK BENARLAH KALAU GITU. SYABAS. HIDUP UMNO. HIDUP DAP!

    ReplyDelete