Thursday, January 26, 2012

Terkini : Penghakiman Bertulis Belum Siap??Putar Belit Terbaru Rayuan Saiful??


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Penghakiman bertulis berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan masih belum siap, kata peguam Karpal Singh.

Karpal berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh setiausaha hakim perbicaraan kes berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pertanyaan tentang penghakiman itu kepada setiausaha hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Kata peguam bela utama Anwar itu, seseorang hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman bertulis dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh notis rayuan difailkan, seperti yang disebutkan dalam Surat Pekeliling Ketua Hakim Negara.

Pada 20 Januari lalu, Pejabat Peguam Negara (PPN) memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat. Notis berkenaan, yang ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.
Karpal berkata, PPN mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan rayuan itu setelah meneliti asas yang terkandung dalam penghakiman bertulis yang disediakan hakim perbicaraan.

Katanya, PPN juga boleh membuat keputusn untuk tidak meneruskan rayuan setelah membaca dan berpuas hati dengan penghakiman bertulis yang mengandungi barang kes, nota prosiding dan penghakiman bertulis.

"Kami pernah buat begitu (tidak merayu) dalam kes lain. Apabila saya mendapat petisyen rayuan, saya dapati asasnya tidak berbaloi untuk meneruskan rayuan," kata beliau.

Karpal berkata, mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, PPN mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik saja menerima rekod rayuan dan sekiranya tempoh 10 hari itu berlalu begitu saja, maka ia (pestisyen rayuan) dikira sudah ditarik balik.

Pihak yang telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, perlu memfailkan petisyen rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan sekiranya mereka ingin meneruskan rayuan itu, setelah menerima rekod rayuan yang lengkap.


Pada 9 Januari, Hakim Mohamad Zabidin membebaskan dan melepaskan Anwar setelah mahkamah mendapati ia tidak 100 peratus pasti integriti sampel DNA tidak diusik dan mahkamah itu keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan keterangan Mohd Saiful yang tidak disokong oleh bukti.

Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara,Bukit Damansara di sini antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment