Thursday, March 8, 2012

Bilalah krisis di Kedah nak abis!!!



Krisis Pas Kedah memasuki dimensi baru apabila satu demi satu dakwaan diwujudkan termasuk isu pemberian projek jalan raya negeri bernilai RM60 juta setahun yang dikatakan menjadi antara punca pertelagahan kepimpinan negeri.

Satu sumber mendakwa, Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi membantah tindakan Azizan mahu menganugerahkan projek itu kepada sebuah syarikat sehingga mengakibatkan beliau enggan dilantik semula ke jawatan berkenaan bagi 2012.

Kontrak penyelenggaraan jalan itu didakwa ingin dianugerahkan, selepas syarikat terbabit mengadakan rundingan terus untuk mendapatkan tender.

Projek tersebut juga dikatakan merupakan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri (GLC).

Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah dipercayai tidak hadir pada mesyuarat berkenaan dan disebabkan itu beliau tidak mengetahui keputusan terkini yang telah diubah oleh Azizan.

Difahamkan juga dakwaan mengenai pemberian projek jalan raya ini sebagai tindak balas terhadap kenyataan Azizan dalam mesyuarat khas di sini, beliau berkata lagi bahawa ada salahlaku Pas di sini..

“Menerusi tender terbuka, mana-mana syarikat tidak kira dimiliki oleh sesiapapun yang memenuhi kriteria ditetapkan, layak dipertimbangkan untuk diberi kontrak,” katanya.

Dalam pada itu, spekulasi pengunduran Azizan kini menjadi perbualan hangat penduduk negeri ini selepas Phahrolrazi dan seorang lagi Exco, Dr. Ismail Salleh bersetuju untuk dilantik semula jawatan itu.

Antara persoalan timbul ialah apakah syarat yang telah dipersetujui dan tidak didedahkan kepada umum itu, sehingga kedua-dua Exco berkenaan bersetuju menerima jawatan Exco semula.

Ia termasuk khabar angin mengatakan Phahrolrazi dan Ismail dijanjikan bahawa Azizan tidak akan dilantik semula sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang yang diterajui Pas mengekalkan kuasa di negeri ini.

Selain itu, sumber memberitahu, Pas Pusat juga kemungkinan akan mengkaji semula kedudukan Azizan sebagai Pesuruhjaya Pas pada muktamar parti itu akan datang.

Spekulasi berkenaan tercetus selepas campur tangan Pas Pusat dalam menyelesaikan krisis itu yang menyaksikan Azizan kekal sebagai Menteri Besar, dua Exco terbabit perlu menerima semula jawatan tersebut dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pas pusat bagi memantau kerajaan negeri.

Sumber:- Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment