Tuesday, May 29, 2012

DS Najib Umum Berita Baik Buat Penjaja Kecil

Inilah pemimpin..siapa yang akan membela nasib peniaga-peniaga sekiranya mereka sakit...DS najiblah orangnya...


Golongan peniaga dan penjaja kecil kini boleh menarik nafas lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita gembira buat mereka apabila menetapkan yuran pendaftaran kali pertama serta pembaharuan lesen cuma RM50 untuk tempoh lima tahun.

Menurutnya, kadar bayaran pendaftaran tersebut adalah istimewa berbanding bayaran sedia ada sebelum ini antara RM150 hingga RM300.

"Selain itu, bayaran kompaun bagi kelewatan pendaftaran dan pembaharuan lesen juga dikurangkan kepada 50 peratus dan ia akan dilaksanakan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Jun hingga akhir tahun ini di mana ia merupakan pemberian istimewa daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada warga peniaga dan penjaja kecil di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini malam tadi.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani.

Menyentuh mengenai rungutan peniaga berhubung soal pendaftaran perniagaan, Najib menegaskan ia merupakan proses yang memberi keuntungan kepada peniaga dan penjaja kecil kerana sekiranya ada data lengkap kerajaan mampu memberikan bantuan sewajarnya.

“Sebab itu kita nak kemaskini pendaftaran supaya satu skim insurans berkelompok dapat kita sediakan. Butiran-butiran ini kita akan teliti dan maklumkan kemudian. Jika peniaga jatuh sakit, mereka tidak ada skim perlindungan dan ia membebankan. Maka kita kena fikirkan skim perlindungan," ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan perhimpunan yang diadakan buat julung kalinya itu mendapat sambutan menggalakan dengan kehadiran kira-kira 15,000 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh pelusuk negara.
Bagi memastikan nasib peniaga dan penjaja kecil mendapat pembelaan sewajarnya, Najib berkata, kerajaan akan meletakkan tanggungjawab itu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tambahnya, kerajaan akan sentiasa memperjuangkan nasib golongan itu termasuk menyediakan pinjaman mikro kredit bagi mengembangkan perniagaan.

“Kita juga sediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang selama ini telah memberi pinjaman sebanyak RM2 bilion. Ada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Ini hasrat kita supaya golongan itu dapat akses pinjaman dan dapat uruskan perniagaan dengan baik.

“Kita akan terus membela golongan peniaga dan penjaja kecil secara berterusan," jelasnya.

Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara di mana sebelum ini tiada kementerian khusus bertanggungjawab menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil.

0 comments:

Post a Comment