Penulis tidaklah begitu kenal dengan APA walaupun kami pernah bersembang semeja dalam dua atau tiga pertemuan di sebuah kedai kopi. Pertemuan-pertemuan lain sekadar pertemuan-pertemuan biasa yang tidak bersusulan dengan perbualan panjang, sekadar bertegur sapa ringan. Latar belakangnya juga penulis tidak berapa tahu. Malah berapa ramai anaknya pun penulis tidak pernah bertanya kepadanya.
Siapa Santau Berapi dan Cili Padi juga, penulis tidak pernah ambil peduli.
Walaupun mungkin ideologi penulis dan APA berbeza bagaikan langit dan bumi, penulis sebenarnya tidak bersetuju langsung dengan serangan yang dihalakan kepadanya. Serangan yang kelihatan lebih kepada bersifat peribadi sebegitu, sebenarnya menyekahkan lagi keperibadian masing-masing.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah faham, kita buka aib orang, orang lain akan buka aib kita... buka membuka yang tiada kesudahannya.
Apa yang penulis ingin katakan di sini ialah, kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh membuka aib orang sesuka hati. Mungkin APA ada melakukan kesilapan sebelum ini tetapi apabila kita mengulangi kesilapannya, kita dan dia tiada bezanya. Apatah lagi, APA bukanlah ahli politik atau pemimpin yang wajar kita membuat tapisan keperibadiannya sebelum keimamahannya dipersetujui.
Ada asas atau tidak dengan tuduhan yang dilemparkan kepada blogger yang sudah beralih kem itu, penulis tetap tidak bersetuju dengan tindakan sebegini. Dalam satu situasi lain, penulis juga sebenarnya pernah berada dalam kedudukan yang serupa dengan APA iaitu beralih kem. Bagaimanapun, agak mujur kerana pada ketika penulis beralih kem, blogger tidak seramai dan tidak seaktif sekarang. Apa yang berlaku kepada blogger tidak dihiraukan oleh blogger-blogger lain. Apatah lagi, peralihan kem bukanlah disebabkan isu peribadi sebaliknya kerana berasakan pihak yang disokong dari awal tahun 1990-an itu, sudah mula melencong daripada perjuangan asal.
What goes around comes around... itu pepatah orang putih yang sangat masyhur dan seringkali diungkapkan oleh mana-mana orang yang sukar mencari pepatah Melayu yang sesuai.
Dunia blog agak reda kebelakangan ini dengan serangan sesama blogger. Baik blogger pro-Pakatan ke atas blogger pro-UMNO atau sebaliknya. Malah sesama blogger pro-UMNO dan blogger pro-Pakatan juga kelihatan sudah terlalu perlahan. Barangkali disebabkan masing-masing memberikan tumpuan kepada pilihanraya umum yang akan menjelang tidak lama lagi.
Namun serangan sebegitu, sebenarnya bukanlah asing kepada masyarakat blogsphere. Semuanya bertitik tolak daripada pemimpin yang tidak berpuas hati apabila dikritik, dikutuk dan dihentam menerusi blogsphere atau diketahui melakukan banyak penggelapan, mulai mengambil pendekatan menggunakan blogger yang berpihak kepadanya untuk melakukan hentaman balik. Dan kebiasaannya, blogger yang disuruh itu akan memilih untuk melakukan pendekatan menyerang peribadi blogger yang mengkritik, mengutuk dan menghentam itu.
Barangkali di situlah kesilapan yang dilakukan oleh APA sehingga akhirnya apa yang berlaku sekarang, seolah-olah satu pembalikan daripada tindakannya sebelum ini.
Secara jujur, penulis mengharapkan perkara sebegini akan dapat dihentikan. Kalaupun APA sudah memilih kem politik yang ingin disertainya, biarkanlah dia. Kalaupun ada aibnya yang bersifat sensasi, biarkanlah. Dunia ini bulat dan sejauh mana perjalanannya, sama ada perbuatan atau dirinya sendiri akan kembali ke tempat permulaan. Jangan pula suatu hari nanti, ada blogger baru lain yang mengenali kita pula, yang buat cerita dan menghebahkannya di blogsphere.
Tidak perlulah kita memilih untuk menjadi popular dengan isu-isu sebegini. Sebabnya, apabila seorang blogger popular dengan isu-isu sebegini, akhirnya isu-isu sebegini jugalah yang akan menimpa dirinya.
Sahabat blogger penulis, Parpukari dan Papagomo seringkali dijadikan batu loncatan oleh sesetengah pihak untuk popular. Parpukari pernah difitnah meminum arak dengan gelas berisi Malta di hadapannya, manakala Papagomo difitnah memeras wang ahli-ahli politik lain. Blog-blog yang mensensasikan cerita tentang kedua-dua orang sahabat penulis itu, mungkin popular untuk seketika, tetapi selepas tiada apa-apa lagi yang hendak ditulis tentang Parpukari dan Papagomo, akhirnya kuranglah manusia yang datang bertandang.
Manakala penulis sendiri berhadapan dengan cerita-cerita mehnah sebagai trojan horse yang memecahbelahkan blogger pro-UMNO walaupun blogger yang penulis kenal secara rapat dan khusus, tidak sampai lebih daripada jumlah jari di tangan. Kalau penulis membalas balik kenyataan-kenyataan berkenaan, kesudahannya, banyaklah pula perkara-perkara aib yang melibatkan penulis dan pihak-pihak berkenaan akan dilondehkan.
Mujurlah penulis masih lagi berpegang kepada pendapat, blogger bukan pemimpin politik yang perlu ditelanjangkan!
Thanks Flying Kick
0 comments:
Post a Comment