Friday, November 2, 2012

Nik Aziz Dibidas Kerana Bersikap Dwistandard!



Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini dibidas kerana bersikap dwistandard berhubung desakan pelbagai pihak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, tindakan Nik Abdul Aziz menyifatkan pihak yang memintanya berundur sebagai 'orang menganggur' juga jelas menunjukkan beliau tidak menghormati kebebasan bersuara.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga mengkritik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kerana meminta pihak lain 'jangan menyibuk' meminta Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob meletakkan jawatan berikutan skandal projek Lembah Sireh.

''Mursyidul Am Pas itu berkata beliau tidak akan melayan sebarang desakan untuk berbuat demikian melainkan datang daripada orang Pas sendiri. Lupakah dahulu beliau pernah 'menyibuk' mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan walhal beliau bukannya ahli UMNO.

''Begitu juga dengan desakan pembangkang agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan. Adakah yang mendesak itu ahli UMNO? Apabila kena orang lain, kecoh kata itu hak kebebasan bersuara. Tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, kenapa mahu menafikan hak yang selama ini diperjuangkan mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang tidak akan melayan sebarang desakan untuk berundur melainkan datang daripada orang Pas sendiri.

Perkara sama disentuh Mohd. Amar yang menegaskan hanya ahli Pas layak membuat keputusan menentukan kepemimpinan yang mereka pilih.

Wan Khairul Ihsan turut mengingatkan Nik Abdul Aziz tentang desakan untuk berundur yang disuarakan oleh seorang wakil rakyat Pas Kelantan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Dr. Nik Mazian Mohamed baru-baru ini.

''Kalau nak kata akan hanya melayan desakan orang Pas sendiri, Nik Mazian juga sudah bersuara. Itu teguran orang Pas,'' katanya.

1 comment:

  1. dah la tengok gambar kat atas tu dah mcm nate beruuukkkk !!! hahahaha

    ReplyDelete