Thursday, November 15, 2012

Pemuda PAS Didesak Jadi Agen Kritik Pembangkang



Kepimpinan Pemuda PAS Pusat dibidas kerana gagal memainkan peranan sebagai agen pendesak dan pengkritik terutama membabitkan kerjasama politik dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Perwakilan Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, Pemuda PAS dilihat seolah-olah mengambil pendirian untuk berdiam diri tanpa memberi sebarang teguran atau kritikan terhadap kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

"Adakah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini seperti maksum (bebas kesalahan)?

"Hari ini tak ada sebarang teguran daripada Pemuda PAS terhadap negeri-negeri yang kita tadbir...perkara ini perlu kita perbaiki, kita kena mainkan peranan yang baik," katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi di sini, Khamis.

Selain itu Mohd Faizul dengan lantang turut mengkritik intipati Ucapan Dasar Nasrudin kerana disifatkan gagal menyuntik semangat perwakilan Pemuda PAS terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Malah menurutnya, Nasrudin gagal menggunakan kesempatan pada muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang khusus sebagai medan pengukuhan jentera dikalangan golongan muda.

"Ucapan dasar ini hanya seolah-olah sebagai sorotan sejarah...tak ada perkara baru yang dibangkitkan dan kurang lontaran idea yang didahagakan anak muda.

"Sebab itu hingga hari ini tidak ada figura hebat yang dilahirkan Pemuda PAS untuk dijadikan ikon golongan muda," katanya.

0 comments:

Post a Comment