SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor diminta tidak membuat sebarang andaian sebelum merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan penemuan 134,675 pengundi yang tidak dapat dikenal pasti.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menanti laporan daripada penemuan itu dan sudah bersedia untuk memberi penjelasan.
Menurutnya, SPR tidak menolak usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri itu namun ia sepatutnya dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Kita sudah bersedia memberi jawapan kerana kita bekerja mengikut fakta dan undang-undang,” katanya.
Wan Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Sinar Harian, Sabtu lalu, yang mendakwa Kerajaan Negeri mengesan seramai 134,675 pengundi baru yang tidak dapat dikenalpasti pada suku keempat tahun lalu berdaftar dalam Daftar Pemilik Induk.
Beliau juga turut mempersoalkan kaedah dilakukan Kerajaan Negeri dalam menjejak pengundi yang dilaksanakan melalui bancian dari rumah ke rumah sekiranya ia berdasarkan alamat mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“SPR tidak pernah memberi persetujuan kepada mana-mana pihak untuk melakukan bancian pengundi termasuk Kerajaan Negeri tetapi SPR tetap menghormati usaha mereka.
“Ini kerana, kita khuatir sekiranya mereka tidak memahami kaedah sebenar bancian dan membuat andaian, ia pada akhirnya akan mengelirukan orang ramai.
“Jika mereka membuat bancian dengan cara pergi dari rumah ke rumah berdasarkan alamat dalam rekod JPN, ia akan jadi tidak tepat kerana berkemungkinan individu itu tidak lagi tinggal di alamat didaftarkan,” katanya.
Beliau berkata, tidak salah di sisi undang-undang SPR sekiranya seseorang itu tidak lagi tinggal di tempat asal tetapi masih menggunakannya sebagai alamat pengundi.
“Boleh jadi mereka ini sewaktu mendaftar dengan SPR, mereka tinggal di situ tetapi kemudian mereka berpindah dan masih belum mengemas kini data terbaru mereka.
“Sekiranya kaedah ini diambil kira Kerajaan Negeri dalam penemuan itu, kita khuatir ia tidak tepat kerana masalah berkaitan alamat itu bukan sesuatu yang pelik malah ia perkara biasa di Malaysia ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment