Saturday, September 29, 2012

Bajet PR Hanya Nampak Menarik Sekali Pandang



Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan bajet pakatan pembangkang 2013 yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sekadar menarik jika diteliti dengan 'sekali pandang'.

Sebaliknya, tegas Timbalan Perdana Menteri, jika diteliti secara halus, bajet itu akan menjadi satu beban besar kepada negara dan rakyat.

''Mungkin kenyataan saya ini dikatakan politik kerana saya dalam kerajaan. Tetapi yang mustahak adalah analisis pakar-pakar ekonomi tentang apakah bajet tersebut realistik, berdaya tahan atau hanya satu gimik dan tawaran untuk tujuan pilihan raya? Mereka (pembangkang) bukan kerajaan, jadi boleh buat apa-apa tawaran yang disebutkan dalam bajet itu.

''Saya telah dengar banyak komen daripada pakar-pakar ekonomi yang kata itu (bajet pembangkang) tidak realistik. Saya nak quote (petik) apa pakar ekonomi kata. Ada yang bagi komen, kalau beginilah (bajet), negara tak boleh sustain (daya tahan), tak boleh terus berkembang kerana berdepan banyak masalah,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2012 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan bajet pakatan pembangkang 2013 oleh Anwar di Parlimen semalam yang antara lain mahu menghapuskan bayaran tol, mengurangkan cukai kenderaan dan harga minyak serta memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Muhyiddin berkata, mengambil contoh ikrar pembangkang mahu menghapuskan bayaran tol, beliau mengajukan persoalan kepada pembangkang tentang bagaimana ia mahu dilaksanakan.

''Mereka tiada asas (hapuskan tol). Implikasinya, mereka kena ambil alih semua konsesi. Kalau kira kos terlibat, tentu berbilion ringgit. Niat baik tapi tak jelaskan caranya. Itu sahaja melibatkan belanja besar kerana konsesi telah diberikan hak mengurus lebuh raya. Kena bayar kos-kos pampasan yang mereka tak sebutkan kepada rakyat berapa nilainya,'' soal beliau.

Begitu juga dengan pemansuhan PTPTN, jelasnya, skim pinjaman itu diwujudkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Atas dasar itu, katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM42 bilion yang dapat memberi faedah kepada lebih sejuta penuntut.

''Mungkin bagi mereka yang dapat pinjaman, dengar tawaran pembangkang itu agak menarik. Tetapi apa akan jadi kepada penuntut akan datang? Kalau nak hapuskan PTPTN, tak perlu bayar balik (pinjaman), mana sumber-sumber baru yang kita nak cari untuk biayai penuntut-penuntut baru akan datang,'' katanya.

Oleh yang demikian, tegas Muhyiddin, apa yang penting bagi rakyat adalah bajet sebenar yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.

''Itu lebih utama kerana pembangkang tiada rasa tanggungjawab. Mereka boleh tawar bintang, bulan, matahari, cakerawala tetapi tiada locus standi nak buat begitu. Bagi mereka yang penting adalah untuk mendapatkan political mileage,'' katanya.

Beliau memberitahu, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional, pembentangan bajet adalah mengambil kira semua aspek dan berasaskan kepada asas-asas seperti hasil sumber negara, kawalan kewangan, mengurus bajet secara berhemah serta mengambil kira usaha untuk mengurangkan defisit.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan kesudian untuk bersemuka dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air di Selangor dan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2).

''Isu air kita sudah jelaskan dan saya sendiri telah menghantar surat kepada Menteri Besar tentang bagaimana isu itu nak diselesaikan. Berpandukan kepada nasihat Peguam Negara dan kementerian bertanggungjawab, saya telah jawab dan memperincikan satu persatu.

''Semalam, kebetulan saya bertemu dengan Penasihat Ekonomi Selangor (Anwar). Saya telah sampaikan perkara sama dan projek Langat 2 perlu diteruskan. Saya katakan ini bukan soal politik tetapi kepentingan rakyat.

''Beliau kata akan maklumkan kepada Menteri Besar. Keputusan itu saya anggap sebagai satu perkara rasmi kerana kami tak bincang secara santai. Saya anggap itu komitmen beliau,'' katanya

0 comments:

Post a Comment