Wednesday, September 5, 2012

Tun Mahathir : Fokus Ahli Dapat Pastikan BN Menang 2/3 PRU 13


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang jika ahli-ahli parti berkenaan memiliki pemikiran yang waras.

Katanya, pemikiran waras yang dimaksudkan ialah mereka tidak mensabotaj parti hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih.

Dr. Mahathir menegaskan, jika budaya suka mensabotaj parti diteruskan dalam pilihan raya umum akan datang, ia hanya akan mengundang petaka kepada BN.

"Kalau orang-orang UMNO, orang-orang BN mempunyai fikiran yang waras mereka akan dapat dua pertiga. Tapi kalau depa nak main, orang ini tak suka, orang itu tak suka, kalah pun boleh," kata Dr. Mahathir pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini semalam sebelum menghadiri majlis makan malam bersama Kelab UMNO Indonesia.

Beliau berada di sini untuk menerima anugerah Ijazah Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya dalam bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh Universti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo).

Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana turut menyampaikan ceramah bertajuk Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang: Inisiatif Serantau di Universiti Muhammadiyah, Yogyakarta.

Dr. Mahathir yang bersara sebagai Perdana Menteri pada 2003 turut menegur sikap sesetengah ahli BN yang sentiasa sahaja tidak berpuas hati apabila pucuk pimpinan parti mengumumkan senarai calon dalam pilihan raya umum.

Menurut beliau, apa yang paling utama dan perlu diberi penekanan oleh ahli-ahli ialah memastikan parti yang berwibawa seperti BN menubuhkan kerajaan termasuk menyokong calon bukan dari ahli parti.

"Payung terjun pun payung terjun la, kalau dia berkebolehan kita patut sokong kerana akhirnya parti akan menang," tegas Dr. Mahathir.

Pada satu soalan lain, Dr. Mahathir optimis BN masih boleh mengekalkan kuasa pemerintahan seandainya PRU diadakan esok.

"Saya ingat boleh menang, tapi masalahnya kita nak dapat satu majoriti yang cukup supaya mendirikan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat," kata beliau lagi. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment