Thursday, September 27, 2012

Hasan Ali:Kenyataan Anwar Di The Scotsman Hina Orang Islam



Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali berkata kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa umat Islam mempunyai ‘masalah jiwa’ dalam media Britain, The Scotsman, dua hari lalu sebagai satu penghinaan.

“Saya rasa ini satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin Islam.

“Sebenarnya dialah (Anwar) yang sedang mengalami masalah jiwa,” kata Hasan dalam sidang media hari ini seperti dilaporkan The Malaysia Insider.

Hasan mengulas rencana wartawan The Scotsman, Eddie Barnes bertajuk, “Eddie Barnes: Tough challenge to heal the divides in Malaysia” yang melapor, “Tindak balas ganas terhadap filem yang menghina Islam, dia (Anwar) bersetuju bahawa terdapat satu masalah jiwa umat Islam..mudah marah dan beremosi.”

Rencana itu juga turut dimuat turun di laman peribadi Anwar, anwaribrahimblog.com.

Hasan berkata, kenyataan Anwar yang bersifat penghinaan terhadap umat Islam sebagai cerminan jiwa Ketua Pembangkang itu sendiri.

“Rakyat Malaysia faham tentang tekanan emosi yang sedia beliau hadapi berikutan dengan beberapa kes melibatkan moral beliau,” katanya.

Hasan juga berkata kenyataan Anwar itu sama seperti yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham yang menulis di dalam laman mikro Twitter dengan mengatakan umat Islam membuang masa menyertai demonstrasi bagi menyuarakan bantahan terhadap filem “Innocence of Muslims” pada minggu lalu.

“Pada pendapat saya, kenyataan Anwar ini dilihat sama dari segi nada dan pengertiannya dengan apa yang disebutkan oleh Ngeh,” katanya sambil menggesa para ulama untuk menyatakan pendirian terhadap isu tersebut.

Selain itu, beliau juga turut menyeru orang ramai menilai sejauh mana kenyataan Anwar itu menjejaskan aqidah seseorang Muslim atau tidak.

Justeru, Hasan menggesa Anwar memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu-ANWARAIDC

0 comments:

Post a Comment