KUALA LUMPUR 23 Sept. - Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamad hari ini mencabar kepimpinan PKR dan rakan-rakan pakatan menamakan dulu barisan bayangan Kabinet mereka.
Katanya, pemimpin BN sudah berkali-kali mencabar pemimpin utama pakatan pembangkang untuk menamakan barisan Kabinet bayangan tetapi masing-masing cuba melarikan diri daripada menjawab persoalan tersebut.
''Jangan asyik berselindung di bawah permainan politik retorik,'' kata Ahli Parlimen Sepang itu seperti yang dilaporkan dalam The Malaysian Times hari ini.
Beliau diminta mengulas cabaran PKR yang mahu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bakal Menteri Besar Selangor jika UMNO sudah mempunyai formula lengkap untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) kelak.
Baru-baru ini Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO melahirkan keyakinannya bahawa UMNO dan BN sudah bersedia dan bersemangat untuk merampas semula Selangor berdasarkan beberapa isu krtikal yang melanda kerajaan negeri pimpinan PKR.
"PKR dan pakatan semakin tertekan di negeri Selangor ketika ini kerana banyak isu yang melanda saban hari, bermula dari isu sampah, air, Talam gate, pembelian lori sampah serta sistem penyampaian yang lemah,'' katanya.
Beliau berkata, rakyat juga sudah muak dan menyampah dengan perangai mereka yang selalu mengutamakan kepentingan diri dan politik serta terlalu desperado mahu mempertahankan kuasa politik.
''Tekanan tersebut kini mencapai tahap lebih kritikal dan serius sehingga pemimpin PKR sudah hilang tumpuan dan kini muncul dengan satu lagi formula politik kononnya mahu memberikan tekanan kepada BN secara psikologi untuk menamakan bakal Menteri Besar.
''Inilah sikap sebenar mereka yang suka menutup segala kelemahan pentadbiran kerajaan negeri dengan menggunakan pendekatan politik retorik sedangkan parti mereka sendiri masih membisu daripada menamakan Kabinet bayangan. Kenapa takut?", ujarnya lagi.
Beliau juga memberi amaran kepada PKR supaya tidak mencampuri urusan dalaman UMNO sebaliknya memberi tumpuan menangani permasalahan rakyat di negeri Selangor yang semakin 'tenat' khususnya isu air, masalah sampah serta sistem perkhidmatan yang lain.-UTUSAN
0 comments:
Post a Comment