Friday, April 5, 2013

Pakatan Pembangkang Masih Belum Selesai Isu Calon??



Walaupun Parlimen telah dibubarkan, namun sehingga kini Pakatan Pembangkang masih gagal menyelesaikan isu agihan kerusi, di mana esok akan diadakan mesyuarat lagi untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Ketua Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dilaporkan masih belum membuat keputusan rasmi kerusi parlimen mana yang bakal ditandingi, selain Parlimen Permatang Pauh.

“Esok kita akan selesaikan, kita ada mesyuarat lagi,” kata Anwar ringkas sebelum beliau meninggalkan Ibu Pejabat PKR pada Khamis, lapor Mstar

Anwar sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu agihan kerusi yang bakal ditandingi termasuk menyelesaikan masalah pertindihan kerusi.

Sidang media yang dijadualkan selepas itu turut dibatalkan.

Sementara itu ditanya sama ada keputusannya untuk meninggalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan berhijrah ke salah satu kerusi di Perak, Anwar berkata masih terdapat ‘satu dua’ isu yang perlu diberi perhatian.

“Tentang itu esok saya akan balik Permatang Pauh dan bincang lagi,” katanya.

Ipoh Timur

Ketika diajukan soalan sama ada beliau sedang mengintai secara serius untuk bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timor, Anwar sekadar ketawa sebagai respons.

“Esok lah…tunggu esok,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui turut mengesahkan mengenai kegagalan mereka menyelesaikan isu agihan kerusi pada Khamis seperti yang dijadualkan.

“Belum selesai, ada sedikit lagi. Petang esok kami ada lagi mesyuarat di sini,” katanya.


Komentar Mstar menyarankan kerusi parlimen yang paling selamat untuk Anwar tandingi adalah Ipoh Timur kerana majoriti pengundinya adalah masyarakat Cina (81.07 peratus) berbanding dengan Melayu (13.09 peratus), India (5.27 peratus) dan lain-lain 0.57 peratus.

Lagipun kerusi Parlimen Ipoh Timor dijangka kosong selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang disebut-sebut bakal bertanding di kerusi milik PKR, Parlimen Gelang Patah, Johor.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang sepatutnya bertanding di Gelang Patah kecewa dengan keputusan tersebut dan masih mengharapkan Parlimen Bakri, Kulai dan Segamat, namun Berita Harian hari ini melaporkan nama Chua tiada dalam senarai calon Johor.

Parlimen Perlis

Penulis pro reformasi, Mohd Sayuti Omar (MSO) pula mengkritik Pas Perlis kerana bertindak kurang bijak membelakangi Anwar.

“Apa sudah jadi dengan Pakatan Rakyat Perlis? Apakah PAS dengan PKR tidak sebulu atau satu strategi atau pun gimik PR untuk meletakkan Perlis sama hebat dengan negeri lain? Pengumuman calon dibuat oleh PAS semalam sedikit cacat dan seolah-olah PAS tidak ‘berlaga angin’ dengan PKR.

“Semalam Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin telah mengumumkan calon-calon PAS untuk ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri. Pengumuman itu menunjukkan PR Perlis tidak status quo dalam pembahagian kerusi.

“Kalau mengikut semangat kerjasama menerusi Pakatan Rakyat sepatutnya semua parti yang bergabung dalam pakatan itu mendapat satu seorang kerusi parlimen. Di Perlis hanya ada tiga kerusi parlimen,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Anwar pada 7 April dijangkan akan mengumumkan nama Mufti Perlis Dr Juanda Jaya bertanding di Kangar, namun dengan pengumuman Pas itu telah merosakkan perancangan asal.

“Sebelum ini khabarnya PKR akan diperuntukkan satu kerusi parlimen di mana Mufti Perlis Dr Juanda Jaya telah disebut-sebut akan diletak bertanding di parlimen berkenaan. Ura-ura itu sesuatu yang menarik dikira dapat memberi rangsangan besar kepada rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat. Khabarnya Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan nama Juanda 7 April sempena kunjungannya ke negeri Indra Kayangan itu.

“Kerusi yang dijangka akan ditandingi Juanda ialah Kangar di mana kerusi itu PAS mengumumkan Baharuddin Ahmad sebagai calonnya. Untuk kerusi Padang Besar diumumkan Azamhari Mahmood dan kerusi Arau Dr Haron Din.

“Pembolotan ketiga-tiga kerusi parlimen oleh PAS ini dirasakan kurang bijak. Walaupun PKR ditambah dengan kerusi DUN daripada tiga kepada lima tetapi perubahan itu bukan sesuatu yang dilihat mengemaskan pandangan umum kepada Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Akar umbi PKR bantah

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali dilaporkan Mstar berkata akar umbi PKR membantah apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar, tanpa diputuskan dalam mesyuarat Pakatan terlebih dahulu.

Sebagai gantinya, PKR menuntut kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.

“Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sudah hubungi Datuk Seri (Abdul) Hadi dan saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa bagi menyuarakan bantahan ahli PKR apabila PAS umum bertanding di Temerloh dan Kangar.

“Bagaimanapun kami ambil keputusan untuk akur dan terima baik perkembangan itu. Jadi PKR akan bertanding di Bera sebagai gantian kerusi Temerloh.

“PKR juga akan bertanding di Labuan dan Setiawangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Rabu.

PAS sebelum ini mengumumkan Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi bertanding di Parlimen Temerloh selain turut akan meletakkan calon bertanding di Kangar.

Kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi PKR pada pilihanraya umum yang lalu.

Cakap besar

Roslan Bian, wartawan Agendadaily menemplak kekalutan Pakatan Pembangkang itu.

“Bab cakap besar dan kaki gempak cukup sinonim dengan pembangkang. Sebelum ini, mereka memekak nak cepat diadakan PRU 13, kononnya yakin dapat tawan beberapa negeri lagi sekaligus tawan Putrajaya.

“Bunyi cakap macam dah sedia seratus peratus, dah sepakat agihan kerusi dan segala macam termasuk tuduh Datuk Seri Najib Tun Razak takut nak bubar Parlimen.

“Namun, bila Perdana Menteri umum bubar Parlimen pada pagi Rabu, pembangkang pula yang kalut.

“Mereka semua kalut sebab masih berebut kerusi selain pertindihan kerusi yang nak ditandingi oleh DAP, PKR dan PAS,” katanya

Anwaraidc


0 comments:

Post a Comment